Wednesday 31 December 2008

Ilmu.., Dimanakah Aku?

Ilmu..,Dimanakah aku?

Ilmu ialah suatu elemen yang meliputi segenap kehidupan manusia,semua perkara memerlukan ilmu untuk diterjemahkan kepada kata-kata dan perbuatan.Orang yang kata-kata dan perbuatannya tidak bersandarkan kepada ilmu itulah yang seringkali digelarkan sebagai orang jahil. Perjalanan hidup ini adalah suatu perjalanan menuntut ilmu dan pengetahuan, yang mana hembusan nafas terakhirlah yang menjadi penghujungnya.

Disisi Allah,orang yang berilmu itu lebih mulia kedudukanya,Firman Allah Azza Wa Jalla didalam Al-quraan:
“..Adakah sama orang-orang yang mengetahui dan tidak mengetahui?..”
(Az-zumar: 9)


Malah Hadith Rasulullah Shallahu ‘alaihi Wasallam juga mengkhabarkan keistimewaan orang yang menuntut ilmu,Sabda Baginda Sallahu ‘alaihi Wasallam:
“Barangsiapa yang memasuki sesuatu jalan untuk menuntut ilmu,Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga” (HR Muslim)
Namun disini ingin saya bicarakan tentang niat kita didalam menuntut ilmu,adakah diburu denganya redha Allah atau diburu denganya kesenangan dunia.Para penuntut ilmu perlu sedar dan peka akan hal ini,ramai penuntut ilmu dikalangan kita yang tersasar tujuanya.Ada yang sering kali berkata

“Aku belajar dalam jurusan ni sebab peluang pekerjaan yang terbuka luas,orang yang berkelulusan macam aku ni sangat-sangat diperlukan,aku boleh jadi orang penting dalam syarikat ataupun bank,gaji aku komfem RM10000 keatas..haha”


Tidak dinafikan kehidupan diduna ini memerlukan perkerjaan,pencapaian dan kedudukan yang baik di kalangan masyarakat,namun apakah kedudukan disisi manusia itu lebih diburu mengatasi usaha mendapatkan kedudukan disisi Allah Azza Wa Jalla?


Kenapa tidak kita berfikir bahawa dengan amanah ilmu ini, aku akan berhabis-habisan berusaha untuk menyeru dan mengembalikan manusia kepada perlembagaan Al-quran dan As-Sunnah dalam segenap dimensi kehidupan.Menuntut ilmu dengan tujuan duniawi hanya akan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


Sabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi Wasallam:
“Sesiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya diharapkan denganya wajah Allah Subhanahu Wa Ta’ala tetapi dia mempelajarinya untuk mendapat habuan dunia,dia tidak akan dapat menghidu bau syurga pada Hari Kiamat”( Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Imam Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Solihin)


Begitu juga ancaman kepada orang yang begitu bersungguh-sungguh didalam menuntut ilmu namun dilubuk hatinya punya hasrat,keinginan dan impian dengan ilmunya itu dia akan dapat menyaingi para ilmuan yang lain serta dia akan menjadi orang yang ‘popular’,sering dipuji-puji serta dipandang tinggi oleh manusia kerana ilmunya itu.


Sabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi Wasallam:
Daripada Ka’ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat al-Tirmizi,dan Ibn Majah)



Didalam menuntut ilmu juga kita perlu melalui proses-proses tertentu,selain keikhlasan, menadah ilmu dari para ilmuan (guru) yang berkaliber juga satu perkara yang teramat-amat penting.Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan ‘berkaliber’? Adakah berkelulusan dan berkedudukan tinggi semata-mata?


Yang dimaksudkan dengan berkaliber ialah mewarisi ilmu dari Rasulullah Sallahu ‘alaihi Wasallam yang mana ianya dinilai dengan kesahihan maklumat yang dibawa,keadilan serta kejujuran dalam menaqal,menilai dan menyampaikan ilmu.


Sebab itu seorang tabi’ besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut : maksudnya : “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.” (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)

Sebagai penuntut ilmu juga kita punya adab-adab yang perlu ditelusuri agar ianya dapat mengundang keberkatan dan tidak merosakkan ilmu yang dipelajari.
Antaranya ialah:

1. Tidak mencari kelonggoran para ilmuan, yang mana bermaksud jangan dicari dan dibukakan aib mereka,apatah lagi memfitnah,mencaci dan mencerca para ulama’ yang mana sejak kebelakangan ini, sikap seperti ini berleluasa dikalangan para penuntut ilmu.

Sedangkan penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa : Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"


2. Hormatilah para ulama’, para ulama’ ini kita sedia maklumi bahawa mereka tidaklah ma’sum (terpelihara dari melakukan kesilapan) ataupun ‘perfect’. Jadi jika ada pandangan mereka yang mungkin kurang tepat ataupun berbeza,janganlah kita terburu-buru melucutkan rasa hormat kita pada mereka dan jauh sekali melaga-lagakan para ulama’ ini.Ini kerana golongan yang melaga-lagakan ulama’ ini boleh digolongkan dalam golongan yang menyakiti orang islam dengan lidahnya.

Sabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi Wasallam:
“Orang muslim ialah terselamat orang-orang muslim daripada lidahnya dan tanganya,manakala orang muhajir ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang”
(HR Bukhari)


3. Sentiasa bersikap adil dan jujur dalam menaqalkan ilmu, jangan diseleweng atau diputar belitkan kenyataan-kenyataan para ulama’ agar ianya difahami oleh orang awam dengan makna yang berbeza dari apa yang dimaksudkan sebenarnya oleh para ulama' tersebut. Ini adalah sikap orang yang mengikut kehendak nafsu semata-mata.Percayalah segala jenis ‘jenayah ilmiah’ yang kita lakukan akan dipersoalakan di mahkamah Allah Azza wa Jalla di Hari Akhirat kelak,Kita sebagai penuntut ilmu juga berkemestian untuk menilai dan menapis semua maklumat yang kita terima untuk memastikan kesahihanya,jangan libatkan lidah kita juga didalam arus fitnah.

4. Tidak ta’sub pada mana-mana ulama’.Ini perkara yang perlu diambil perhatian,antara punca perpecahan dikalangan penuntut ilmu ialah sikap ta’sub dan melampau. Sikap ta’sub ini akan menghakis sikap adil dan jujur kita didalam menuntut ilmu.Kita seharusnya bersikap terbuka dan sedia mengambil kebenaran dari sesiapa sahaja,kawan mahupun lawan,yang penting,yang benar adalah tetap benar dan yang batil adalah tetap batil.

Jadi saya mengingatkan diri saya terutamanya,dan semua penuntut ilmu agar membetulakan niat dan sikap didalam menuntut ilmu,adab dan akhlak perlulah ditekuni dan diaplikasikan sejajar dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah . Didalam perjalanan menuntut ilmu ini pasti tidak akan lekang daripada ujian dan tekanan,hadapilah ia dengan tabah,berdoalah agar dikuatkan iman kita dalam mendepani segala ujian dan dipelihara dari tipu daya syaitan yang sering merosakkan.
“Ya Allah,pilihlah kami untuk menjadi muslim yang terlibat dalam usaha mengembalikan kegemilangan kesarjanaan ilmu islam, susun dan permudahkanlah urusan kami,tetapkan lah hati kami dijalanMU. Ameen..

Wallahu ‘alam..

Azlan Shah Nabees Khan,
11.10 pagi,
1 Januari 2009,
Bandar Indera Mahkota,Kuantan, Pahang.

1 comment:

Unknown said...

belajar itu best.jom belajar.