Friday 26 June 2009

Pesan - Pesan Terakhir

Orang-orang yang ikhlas telah bersemangat,orang yang bersemangat telah ikhlas.Mereka adalah orang-orang yang memerhatikan di depan,di belakang,di kanan dan di kiri manusia.



Mereka bingung melihat adanya perpecahan,perselisihan,kekeliruan dan keterasingan.
Maksiat, kebatilan,kejahilan dan kehinaan memuncak mendapat tempat,kebenaran disisih dan dihinakan.


Di sekolah-sekolah,di kolej-kolej dan di universiti-universiti terlalu sedikit orang-orang yang faham akan kebenaran dan sanggup bersama dengan golongan yang bersusah payah diatas kebenaran.


Di pasar-pasar,di jalanan ,di rumah-rumah dan di pejabat-pejabat juga demikian.
Apatah lagi jika kita lihat pada media massa era ini. Buku,majalah,surat khabar,Televisyen dan radio,begitu rancak dan meriah menghidupkan maksiat dan kebatilan,wanita menjadi barang dagangan,lelaki mengaut keuntungan,tetapi itulah yang dianggap kemajuan pemikiran.


Bahkan jika kita mengharapkan masjid-masjid untuk menjadi tempat memperkasakan ilmu dan menjana kebangkitan ummah.Kebanyakkanya pula bermasalah. Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wasallam dikesampingkan,khutbah Juma’at yang lesu dianggap perkara biasa,kehadiran jemaah pula merisaukan.


Segala kepincangan dan masalah-masalah ini bukanlan alasan untuk berdiam atau berputus asa mempertahankan kebenaran. Walaupun sangat meletihkan,ia perlu juga ditempuhi demi mengejar redha Sang Pencipta dan ganjaran di akhirat sana.


Oleh kerana itu,dalam usaha mencari kekuatan dan solusi untuk berdepan dengan kebejatan akhir zaman ini,perlu kita sentiasa rujuk kepada al-Qur’an dan pesanan-pesanan junjungan mulia Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alahi wasallam. Disana terdapat sebuah wasiat perpisahan yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wasallam kepada para Sahabat dan umatnya.


Wasiat perpisahan?
Ya ,wasiat ini adalah antara pesan-pesan terakhir Baginda Shallahu ‘Alaihi wasallam.


Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wasallam telah menasihati para sahabat baginda dengan sebuah nasihat yang telah membuatkan hati mereka bergetar hingga mereka menitiskan air mata. Sesungguhnya wasiat ini ialah wasiat untuk zaman sekarang dan bagi segala zaman,juga wasiat bagi zaman kita yang penuh dengan perpecahan,perbalahan dan kekeliruan ini.


Kita berada pada zaman yang sangat perlu untuk kita merenung kembali kepada wasiat perpisahan Nabi Muhammad Shallallahu’Alaihi wasallam . Jika kita benar-benar ikhlas dan jujur kepada Allah,hayatilah dan berpeganglah kepada wasiat perpisahan ini.

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alahi wasallam:





Maksudnya: Dari Abi Najih Al-'Irbadh bin Sariyah radhiyallahu 'anh berkata,
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah memberi satu peringatan yang
sangat memberi kesan dan menggetarkan hati kami dan mata pun mengeluarkan
airnya. Lalu kami berkata: Wahai Rasulullah, sepertinya ini adalah peringatan
terakhirmu, maka berilah nasihat kepada kami. Lalu Baginda Shallallahu 'Alayhi
Wasallam bersabda: "Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan dengar serta taat
sekalipun orang yang memerintah kamu adalah seorang hamba Habsyi. Dan
sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang terus hidup akan melihat
perbezaan yang banyak. Maka, hendaklah kamu tetap dengan Sunnahku dan Sunnah
Khulafa' Al-Rashidin Al-Mahdiyyin, gigitlah ia dengan gigi geraham. Jauhilah
kamu dari perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), dan setiap perkara
yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu adalah sesat, -dalam
riwayat yang lain- dan setiap yang sesat itu di dalam
neraka."

[Hadith Hasan Sahih, Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan
lain-lain]


Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wasallam sangat dicintai oleh para sahabatnya dari segala segi,perginya baginda sangat menduga mereka ,air mata bercucuran,hati menjadi sedih dan tersiksa,dunia gelap seketika.Bahkan diuji pula para sahabat ini dengan munculnya golongan-golongan yang mencabut keimanan mereka.


Perginya insan mulia bernama Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wasallam,bukan satu perkara yang mudah untuk didepani oleh para sahabat.Cara mereka mempertahankan pengaruh dan kenangan-kenagan Nabi Shallallahu ‘Alaihi wasallam adalah dengan berkata..

Di sanalah dulu beliau duduk..
Disanalah dulu beliau berdiri..
Beliau pernah berkata begini dan begitu..
Beliau pernah melakukan ini dan itu..


Maka inilah Sunnah yang direkodkan menjadi rujukan untuk seluruh umat islam,maka dengan itu, segala jenis bentuk ibadah dalam islam, telah pun diajarkan dengan sempurna oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wasallam,tidak ada yang lebih sempurna daripada itu.


Demi cinta Allah Azza wa Jalla dan Rasulnya,ayuh kita periksa semula,solat kita,puasa kita,zikir kita, amalan – amalan ibadah kita yang lainya,adakah ia benar-benar menurut dan berasaskan kepada Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wasallam yang mulia.


Semoga kita dilindungi dari segala jenis kekeliruan dalam hidup bersyari’at. Juga kita memohon kepada Allah Azza wa Jalla perlindungan daripada segala jenis ibadah-ibadah rekaan manusia yang dijenamakan dengan jenama Islam.


Usah gentar jika dengan kita mengikut Sunnah Rasulullah Shallahu ‘Alaihi wasallam,kita menjadi asing,disisihkan,dicemuh,dituduh memecah belahkan , malah dilabel dengan label-label yang ditakuti oleh masyarakat.


Bukankan ini semua telahpun dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wasallam?



“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali
menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah
khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”
[Riwayat
ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]


Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”
Baginda menjawab,
“iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah
menjadi rosak”
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud.
Dinilaikan sahih oleh al-Albani]
Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “iaitu mereka yang
menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”
Juga dalam satu
riwayat yang lain, baginda menjawab, “mereka adalah kumpulan kecil di kalangan
kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih
ramai daripada yang mengikutnya”

Jika ada diantara kita yang merasakan dengan mengikuti golongan yang ramai lebih selamat,atau kita cuba untuk play safe atau ingin kekal di zon selesa walaupun sedar akan kebatilanya. Ingatlah firman Allah Azza wa Jalla yang sangat jelas ,terang lagi bersuluh.



“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka
akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan
sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. [al-An’aam 6:
116]

Perpeganglah dengan wasiat Nabi Shallallahu ‘Alaihi wasallam kerana ini adalah zon selesa dan play safe yang sebenarnya. Bepegang dengan wasiat ini jugalah yang sebenarnya akan menyelamatkan kita dari bencana,fitnah(kegoyahan iman),kesusahan,kesia-siaan dan perpecahan yan menimpa manusia.

Wasiat perpisahan ini mencakupi perintah untuk taat kepada Allah Azza wa Jalla,ikhlas kepada-Nya,memerangi hawa nafsu,berpegang teguh kepada Sunnah Nabi Shallallahu ‘Alaihi wasallam dan Khulafa’-ur Rasyidin serta memahami al-Qur’an dan as-Sunnahnya berdasarkan manhaj para Sahabat yang mulia Radhiallahu Anhum serta menjauhi segala hal-hal yang diada-adakan dan bid’ah-bid’ah didalam agama.

Oleh itu teguhlah kepadanya dan gigitlah dengan gigi geraham.Semoga kita termasuk dalam golongan yang selamat dan beruntung.

Wallahu ‘Alam
Azlan Shah Nabees Khan
26 JUN 2009/6.35ptg/Baiti Jannati

1 comment:

Unknown said...

semoga kita teguh menjunjung segala yang telah ditinggalkan baginda.